Wednesday, January 24, 2007

Baru je Mmbak cakap....

Hakikatnya, dah menular ke bandar-bandarpun.

Lelaki berkeluarga dilanda sindrom malas bekerja
Oleh: AZMAN MD NOOR dan ZINAIDAH ZAINON (Utusan Malaysia)


23 Jan. – Sindrom lelaki berkeluarga malas bekerja kian menular di negara ini sehingga menimbulkan kebimbangan akan wujud jurang ketara antara lelaki dan wanita dalam soal kerjaya, kepercayaan dan tanggungjawab.

Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, fenomena lelaki tidak suka bekerja, manakala wanita pula mengambil alih tugas mereka, sedang menular di kampung-kampung sehingga ada lelaki sanggup menjaga anak di rumah. Menurut beliau, perkara seumpama itu telah pun berlaku di beberapa negeri termasuk di Kelantan.

Mashitah berkata, telah ada wanita dilantik sebagai pemimpin Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan ia bukannya kerana tidak ada calon lelaki tetapi mereka menolak tanggungjawab itu sehingga akhirnya diberikan kepada wanita.
“Ini merupakan satu fenomena serius apabila wujud kecenderungan lelaki lebih suka duduk di rumah berbanding wanita yang kuat bekerja. “Sekiranya perkara ini tidak dibendung, dibimbangi akan lebih banyak tanggungjawab dan kepercayaan diberikan kepada golongan wanita, sehingga mewujudkan jurang ketara antara lelaki dan wanita,” katanya selepas menyampaikan kerusi roda kepada Mohd. Rosli Ali, 33, yang lumpuh, di rumahnya di Kampung Telok Petata, Kupang, dekat sini hari ini.

Menurut Mashitah, jika keadaan itu dibiarkan berlarutan, dibimbangi kaum wanita akan memilih untuk hidup membujang selama-lamanya kerana tidak sanggup memikul tanggungjawab yang sepatutnya ditanggung oleh kaum lelaki. “Rasulullah s.a.w. menegaskan bahawa dosa pertama yang dihitung bagi seorang lelaki ialah dosa mengabaikan nafkah rumah tangga. Ini menjelaskan, bahawa seorang lelaki yang mengabaikan tanggungjawabnya kepada keluarganya adalah berdosa di sisi Islam,” ujar beliau.

Menurut Mashitah, fenomena itu hanya berlaku di kalangan lelaki golongan bawahan yang tinggal di kampung. Katanya, wanita yang berkahwin dengan lelaki berkenaan terpaksa bekerja sebagai penoreh getah bagi menanggung keluarga.
“Malah lebih menyedihkan, ada keluarga yang sanggup memberi duit bulanan kepada anak lelaki mereka yang tidak mahu bekerja, seolah-olah menyokong perbuatan anak mereka itu, yang disara oleh isteri masing-masing. “Gejala itu kini sangat serius menyebabkan ada wanita bujang takut untuk berkahwin kerana bimbang mendapat suami yang malas bekerja.“Sindrom itu jika dibiarkan boleh menggugat institusi perkahwinan dan kekeluargaan yang sangat-sangat dituntut oleh Islam,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengesyorkan satu program bagi menyuntik semangat kaum lelaki dilaksanakan bagi memperkasakan semangat golongan itu.

No comments: