Saturday, April 28, 2012

The day that was

Hari ini dimulai dengan rasa berwaspada memandangkan hari ini dijadualkan hari Bersih 3.0. Walaupun permit berhimpun telah ditolak dan Dataran Merdeka telah dikawal oleh FRU, namun disebabkan KL sesak sejak semalam, telah tertanam rasa berhati-hati di dalam minda. Embak telah merancang ke Pesta Buku di PWTC bersama Maisarah, dan Izzati dengan menaiki LRT.

Jam 9.30 tren tiba dari Bukit Jalil. Sudah sesak sampai ke pintu. Maisarah yang tadi bercadang nak tidur dalam tren terbantut rancangannya kerana dia terpaksa berdiri di celah-celah manusia. Tiba-tiba Embak terasa ada tangan dalam beg sandang. Embak spontan, berteriak sambil memandang tuan punya tangan, " Berani kau ye, selok beg aku! ". "Mana ada, mana ada". Tangannya cepat-cepat dikeluarkan. Secara spontan, Embak menumbuk mukanya, tapi perlahan. Embak secepat kilat meraba dalam bag, cuba merasai apa yang telah diambil. Rasanya tak ada apa yang lesap. Sementara tu, penumpang lain dah mula menumpu pada Embak dan si penyangak. Beberapa saat yang genting dan janggal. Penumpang lain terpinga-pinga dan tertanya-tanya apa yang Embak bisingkan. Si penyangak tak tahu nak buat apa. Embak pun tak tahu nak buat apa. Setibanya di stesyen Cheras, si penyangak cepat-cepat keluar dari tren. Embak cakap, Belah! Lepas tu Embak berbisik pada Izzati, " Betul ke Mak Long tumbuk orang tu?"

Tren makin sarat dengan penumpang. Tetapi mula menyurut selepas Stesyen Hang Tuah. Masa tu kami dah dapat tempat duduk. Setibanya di Stesyen Masjid Jamik, salah seorang pemuda Cina mengeluarkan t-shirt kuning dari begnya. Hah dah keluar dah, katanya. Nanti awak kena naik trak, kata seorang penumpang lain. Takpa, dalam trak ada makanan. Ya ke? Ya. Ada nasi kuning...(Embak rasa lucu, dan senyum). Sipemuda dan rakan-rakannya turun.



Embak dan anak-anak menakan berbeli-belah di PWTC dengan amannya, dan kami pulang dengan LRT pada 12 tengahhari. Stesyen LRT PWTC ketika itu sesak dengan orang-ramai, kemungkinan para peserta Bersih 3.0. Tatkala tren melalui Dataran Merdeka, penumpang-penumpang memanjangkan leher untuk melihat keadaan. Dataran lengang,  dikawali rapi oleh FRU. Kelihatan beberapa gugusan berbaju kuning berkumpul di pinggir medan tersebut, tetapi masih tenang.






Sebelah tengahharinya, Embak dan kawan, Nani pergi ke kenduri perkahwinan anak rakan sekerja, Roduan di BTR.







Pukul 4 petang Embak terlelap sehingga 6 petang. Bateri yang lemah tercas semula.

No comments: