Friday, February 08, 2013

Cerita Mak dulu-dulu

Menurut Mak dia bukan sepenuh Cina. Dia seperempat Cina. Dia dan adiknya Husin diambil anak angkat oleh Nek Peah dan Tok Jadi yang memang tak ada zuriat. Kakak Mak dan abang Mak pun anak-anak angkat juga. Tapi Husin meninggal semasa kecil. Bila Mak Ngah saya beranak sulung, anaknya Rokiah dibela oleh Nek Peah. Tapi yang mengasuhnya tentulah Mak yang ketika itu berumur 14 tahun. Mak sempat bersekolah sampai darjah tiga sahaja. Kak Kiah memanggil Nek Peah "emak", dan emaknya "Nyai". Dia memanggil Mak "Busu".

Tok Jadi terkenal di Bukit Duyung dengan beroknya yang bernama Abu. Mak cerita, satu hari Tok Jadi bawa Mak dan Abu naik basikal ke kedai kopi. Masa tu sekitar Mak berumur sebelas tahun. Mak membonceng di depan dan Abu di belakang. Adalah seorang budak jerit, "eh Tok Long bawa beruk putih kat depan". Tok Jadi naik berang lalu lepok budak sebab panggil anak dia beruk putih. Tapikan Mak memang sangat "laku" sebab dia putih. Abah ialah orang yang ke-11 merisik Mak. Tok Jadi pilih Abah sebab masatu Abah kerja kat pasar. Gerenti bawa balik lauk hari-hari.

Si Abu ni pelik sikit. Bila Tok Jadi nak suruh dia panjat kelapa, Tok Jadi kena tukar nama dia jadi Minah. "Minah, panjat pokok kelapa!", baru dia panjat. Saya sempat tengok berok ni. Mesti masa itu si Abu sudah sangat tua. Kesian tengok dia selalu kena rantai dekat kolong.

No comments: