

Pics: Tembok Luar Mezquita & Keindahan di dalamnya
Sabtu, 28 Februari 2009
*************
Destinasi kami berikutnya ialah ke Cordoba. Setelah mendalami buku Rough Guide to Andalucia dan peta, Embak mencadangkan singgah ke Jaen untuk melihat Banos Arabes, atau tempat mandi wap orang Moor kurun ke 13, yang asalnya sebahagian dari sebuah istana. Berpandukan GPS, Acu dengan cekapnya memandu melalui lorong-lorong sempit yang selayaknya untuk pejalan kaki sahaja. Mencari tempat letak kereta punyalah susah, nak buat illegal parking pun tak ada tempat. Akhirnya, kami terjumpa tempat kereta awam bawah tanah, dan menapak mencari Banos Arabes.
Orang-orang Jaen peramah betul. (Ada seorang mamat bertanya khabar pada Acu, "Ni hao?" -- lucu!) Beberapa orang melayan pertanyaan kami dalam bahasa isyarat dan ayam-itek, sehingga akhirnya seorang anak muda memimpin kami sehingga sampai ke tempat yang diidami. Rupa-rupanya Banos Arabes ini terletak di dalam sebuah bangunan yang kini dijadikan muzium lukisan “naïf” dan beberapa artifak pertanian tradisional; 3 dalam 1 gitu. Kami dilarang mengambil gambar di dalamnya, jadi tiadalah gambar yang Embak dapat tempel di sini.
Memandangkan kesuntukan waktu, Embak batalkan hasrat ke Baena, bandar yang terkemuka dengan penghasilan minyak zaitun. Sebenarnya, kat Espana ni banyak tempat-tempat menarik untuk diziarahi, tapi apokan dayo, kena pilih-memilih, kalau tak, hujung tahunpun tak balik Malaysia…
Kami akhirnya tiba di Cordoba dalam jam 3 petang. Dalam mencari-cari hotel kami, jalanraya pulak macet. Rupa-rupanya ada perarakan berkuda yang ditunggani oleh penduduk tempatan dengan pakaian tradisi mereka. Menarik, kami rasa bertuah, tapi pada masa yang sama mencemaskan kerana kami mengejar masa agar tidak terlepas waktu melawat “Mezquita”, masjid agam Moors indah yang berusia 1200 tahun, satu lagi ikon Andalucia. Tiket masuk berharga 8 euro, dan kami sempat di dalamnya hanya 30 minit sahaja sebelum ditutup.
Seperti di Alhambra, semua yang masuk buat pertama kali ke dalam bangunan ini mengeluarkan bunyi-bunyi kekaguman. Suasana di dalam bekas masjid ini semacam, mungkin kerana lampu didalamnya disuramkan. Embak disulami perasaan kagum, tetapi sedih dan geram kerana sebahagian besar masjid ini telah ditambah dengan patung-patung dan relik-relik Kristian, setelah kuasa Islam ditumbangkan. Embak kurang pasti samada bangunan ini masih digunakan sebagai gereja atau tidak, tapi Embak melihat di satu sudut semacam ada persiapan sebuah “Concert” pada sebelah malamnya.
Merujuk pada buku Rough Guide, ada restoran halal berselahan Mezquita. Malangnya restoran tu dah “bungkus”. Akhirnya, kami makan Paella Mariscos, masakan nasi Sepanyol dimasak dengan minyak zaitun dan makanan laut. Harganya 10 euro tak termasuk caj kualinya 1.90 euro, cukup untuk 2 orang makan. Taklah sesedap mana. Kalau orang Sepanyol makan nasi goreng Cina ke, nasi goreng kampong ke, mesti mereka takda nak aksyen dengan paella mereka.
Keesokan harinya, kami bercadang singgah ke Medina Az- Zahara, 7 km ke barat Cordoba sebelum ke Toledo.
No comments:
Post a Comment