Kami tak sedarpun kami miskin, kawan Embak bercerita tentang kehidupannya membesar di Perak pada suatu hari semasa kami makan tengahari bersama-sama. Topik kami hari itu ialah tentang makanan semasa kecil yang sekarang susah nak dapat dan kawan Embak ini menyebut Sambal Tahi Minyak. Embak teruja sebab tak ramai tahu masakan ini. Katanya, menjadi tugasnya dan adik-adik pergi ke kedai meminta tempurung kelapa yang telah diparut dari peruncit. Setiba di rumah, isi yang masih tersisa dikeruk dari tempurung dan dijerang untuk mendapatkan tahi minyak. Dan hasilnya akan dibuat hidangan yang istimewa oleh ibu kawan saya.
Bila hujung minggu, kawan saya dan adik-adiknya akan ke kedai roti meminta kerak/kulit roti untuk dicicah dengan kuah kari yang mereka minta dari mamak roti canai.Melopong saya mendengarnya. Saya ingat kehidupan saya dahulu susah, tetapi kehidupannya lebih dhaif. Tetapi, bak kata kawan saya, semasa tu dia tak perasan pun dia miskin.
Teringat Embak pada kata-kata seorang pemuda yang kami kanak-kanak panggil Uncle Rajoo yang datang dari Petaling Jaya ke flat kami di Ampang/Ulu Kelang di tahun 70-an dulu. Dia mengajar tuisyen di flat kami kerana ingin membantu anak-anak di sana yang serba kekurangan, "makan nasipun berlaukkan kicap sahaja", katanya. Secepat kilat Embak terimbas Uncle Rajoo yang sebelum itu melintasi unit kami dan kebetulan ketika itu emak sedang menyuapkan adik saya nasi dengan ikan goreng dan kicap. Pasti dia merujuk pada gambaran itu. Embak berkata dalam hati, hei, lauk tu sangat sedaplah. Embak tak pasti samada kami betul-betul kekurangan ataupun itu resipi yang mudah untuk emak memasaknya. Yang Embak tahu, kami adik beradik sangat suka pada lauk itu, lebih-lebih lagi kalau ikan goreng panas. Itulah dia, apa yang kita lihat, interpretasinya berbeda-beda.
Berbalik kepada kawan Embak tadi. Kesimpulan yang dia pelajari dari kehidupan silamnya, dan Embak bersetuju, ialah apabila kita melihat kehidupan orang, janganlah kita ter'over' feel. Orang yang kita rasa malang mungkin tak merasa semalang mana dan tidak mahu dikasihani. Masalahnya, kawan Embak ni cakap je begitu tapi dia lah yang cepat kesian jika ada orang meminta bantuan.
No comments:
Post a Comment