Saturday, September 28, 2013

Melancong ke India (Part 3)

Kami tiba di Delhi jam 3.30 petang dan disambut oleh tour guide baru, Shahwanaz namanya, seorang Muslim. Pemandu van dan budak penolong yang ambil kami di hari pertama pun ada (alamak hari tu dah bagi tip 100 rupees seorang dah, mereka lagi?). Dan oh no! van yang sama. Van yang absorbernya teruk dan enjinnya yang sesekali keluarkan suara soprano (Zack kata brake lining dia out). Van ini yang akan bawa kami 5 jam ke Agra. Selepas makan dan solat di Delhi, kami bertolak. Nampaknya seharian Ahad dihabiskan dalam perjalanan Kahmir->Delhi->Agra.

Embak tak ada masalah tidur dalam van walaupun sesekali terjaga sebab bunyi bising enjin, atau bunyi gendang atau muzik moden yang dimainkan di loud speaker oleh orang kampung merayakan acara keagamaan entah apa. Kecut perut juga terasa lajunya van. Zack rupa-rupanya tak dapat tidur langsung, dan van yang Embak rasa laju sebenarnya tak laju mana. Menurut Zack, kalau suami dia yang pandu, mesti dah lama sampai.

Setiba di Agra, Zack bergesa syampu rambut sebab dah lama menahan tak bersyampu di Kashmir. Esok pagi selepas memasing mandi, kami berdua berkonklusi yang air di bilik mandi ada pasir. Zack kata kenalah bilas rambutnya dengan air di Delhi pula. Selepas sarapan, kami di bawa melawat salah satu antara 7 keajaiban dunia iaitu Taj Mahal. Mahal disebut "mehel" bermaksud istana. Kalau sebutan mahal bermaksud tak silap Embak, tour guide cakap = rusty atau karat.

Lorong masuk  ke perkarangan Taj Mahal yang diasingkan lelaki dan wanita. (I love love love this picture!)
Walaupun kamera masing-masing tersangkut di leher, jurukamera tempatan ramai yang berebut nak ambil gambar kami; gambar solo dan berkumpulan. Nanti dicetak dan dihantar ke hotel. Terpulanglah samada kami nak membelinya ke tidak. Dalam taknak taknak tu, kami ikut juga arahan mereka untuk berposing.
Sessi bergambar dengan jurufoto tempatan.
Untuk memasuki mausoleum, tidak dibenar membawa cecair atau makanan dan kena berkaki ayam atau memakai sampul kasut. Fotografi dan video juga dilarang. Bila masuk, baru Embak sedar sebenarnya Embak sedang menziarahi kubur. Selepas membaca al-Fatihah, kamipun keluar. Monumen Taj Mahal berwarna putih diapit oleh dua bangunan berwarna merah. Di sebelah kirinya ialah masjid yang masih diadakan solat Jumaat. Di sebelah kanannya ialah bangunan "Guest House" sebesar istana. Di belakangnya ialah sungai Jumna.

Para Musafir dan Pemandu Pelancung
 Selepas Taj Mahal, kami dibawa ke kantor marmar yang mana pekerja-pekerja mereka masih dikomisyen untuk merawat inlay di Taj Mahal setiap Jumaat. Lama juga si kembar Cristiano Ronaldo berkempen, akhirnya ada orang membeli. Terpacul dari mulutnya perkataan, "Alhamdulillah". Lepas dah ada yang membeli baru kami buka tin Coke yang terhidang.


Kemudian kami dibawa pula ke kedai alat muzik India yang menyediakan persembahan live music. Yang muda request lagu Kuch Kuch Kota Hei dan yang veteran request lagu Sangam. Tak berani minta banyak lagu, takut kena bayar lebih. Selepas shopping di dua buah kedai lagi, kami balik makan tengahari dan solat di hotel.

Sebelah petang kami ke Agra Fort yang berjarak 1.2km dari Taj Mahal.

Agra Fort adalah salah satu warisan dunia yang diiktiraf Unesco. Kelihatan sangat kebal dan gah di depan mata. Di dalamnya ada kompleks istana, masjid, dsb yang didiami beberapa generasi dari zaman pemerintah Hindu ke Mughal.
Kanan: Tingkap di Agra Fort yang menghadap Taj Mahal
Shah Jahan meninggal dunia di sana semasa dalam kurungan oleh anaknya Aurangzeb sikurang asam di sebuah bilik yang menghadap Taj Mahal.

Lewat petang kami meminta untuk Shawanaz bawa ke bazaar yang kurang standard, lalu dibawanya ke satu kompleks yang cantik dan baru. Tak mungkin ini kedai spara standard. Shawanaz kata, lebih kurang, "jangan tertipu dengan luaran". Memamg harga di sana murah sedikit, tetapi jelas kualitinya juga kurang bagus.

Keesokannya Selasa, kami kembali ke Delhi. Seterusnya Rabu, sudah mahu berangkat pulang ke tanahair.



No comments: