Monday, September 25, 2017

Day 2: Activities in Kundasang and Ranau

1. Desa Dairy Farm



Setelah bersarapan Maggi Hot Cup, kami bergegas ke Desa Dairy Farm sebelum ia dibuka pada jam 8 pagi. Cuaca hujan namun kami teruskan juga dengan lawatan. Tiket masuk berharga RM5 seorang. Ramai yang mengatakan suasana di ladang ini seperti di New Zealand kerana lembu-lembu tenusu yang berwarna hitam dan putih. Namun saya rasa cuacanya tidaklah sesejuk New Zealand.
Pemerahan susu sedang berlangsung

Tempat melihat lembu-lembu
Bahagian hadapan kilang tenusu yang basah dek hujan

Vista Gunung Kinabalu di hadapan kilang tenusu.



Ais krim dan yogurt keluaran ladang tenusu Desa yang enak.
Di pintu gerbang ladang tenusu.

Kami kemudian kembali ke Dream World untuk check-out. Kami menginap hanya semalam di sini. Kelebihan rumah peranginan ini adalah kedudukannya yang sangat dekat dengan Desa Dairy Farm dan bilik-biliknya yang selesa. Namun, sekiranya anda mempunyai kenderaan, kedudukan penginapan tidaklah berapa penting. Lagipun, kebanyakan masa akan dihabiskan di luar penginapan.
Dream World Resort dari unit penginapan kami.

2. Taman Kinabalu dan Pasar Kundasang 
Taman Kinabalu adalah tapak warisan dunia yang pertama dan ia memerlukan peruntukan masa yang lebih lama namun kami hanya sempat melawat muzium warisan. Bayaran masuk hanya RM3 sahaja. Kami juga tidak melawat Kundasang War Memorial kerana kekangan masa. Kalau ada rezeki, kedua-dua tempat bolehlah dilawati di lain kali.
Arca lembu di bulatan pekan Kundasang.
Arca di simpang ke Kg. Mesilau.
Selain daripada arca lembu, bulatan-bulatan di Kundasang dihiasi dengan arca kobis panjang dan kobis bulat menandakan banyaknya sayur-sayuran di situ. Terdapat deretan gerai yang menjual segala hasil bumi Kundasang yang segar lagi murah.  Di sini kami terjebak membeli buah-buah yang siap dipotong, yang akhirnya kami buang saja kerana tak sempat menghabiskannya. Buah-buahan yang dipotong selalunya buah-buah yang dah lama yang seeloknya dimakan sebaik saja dibeli.




3. Air Panas Poring 
Dalam perjalanan ke Air Panas Poring yang terletak 29 km dari Kundasang. kami singgah di pekan Ranau untuk makan tengah hari. Setelah itu, kami nekad untuk singgah di Giat MARA setelah tidak berjumpa surau. Alhamdulillah, kami dapat solat dengan selesa kerana kami menggunakan bilik air dan surau yang amat bersih dan selesa.

Air Panas Poring juga merupakan tapak warisan dunia. Di dalam kompleks yang sama, terdapat beberapa tarikan yang lain termasuklah laluan kanopi. Namun, kami hanya singgah di sana untuk mandi air panas. Ada beberapa jenis kolam terbuka dan tertutup. Bayaran untuk menggunakan bilik yang tertutup tanpa jakuzi adalah RM15 untuk sejam.  Amat berpatutan sekali kerana tabnya muat untuk dikongsi empat orang walaupun yang lebih afdal, dua orang.



Tempat untuk berposing.

Untuk sampai ke kawasan air panas, kita perlu melalui sungai yang sangat deras ini. Bunyi air yang deras dan udara yang nyaman adalah suasana hutan yang sangat alami. Semasa kami berjalan keluar dari air panas, kami terpaksa berhenti sejenak kerana ranger terpaksa melepaskan seekor ular yang teruntai di dahan. Ular tersebut kemudiannya dicampakkan ke bawah sungai. Nampak tak ular yang selamat mendarat di atas dedaun?

4.   "Tagal" Sg. Moroli, Kampung Luanti

Dalam bahasa Kadazan, tagal bermaksud tempat yang tidak dibenarkan memancing dan tujuan utama ia diadakan adalah untuk merawat air sungai dengan menggunakan beberapa spesis ikan. Bukan saja ikan-ikan ini merawat air sungai, ia juga boleh merawat kulit yang bermasalah. Celup sahaja kaki, tangan atau seluruh badan ke dalam sungai, ikan-ikan akan meluru untuk memakan sel-sel kulit anda. Namun, ikan-ikan tersebut tak sudi memakan kulit-kulit kaki kami, mungkin kerana sudah kekenyangan atau mereka tak suka rasa selipar.

Orang-orang yang mengelat pakai selipar.

Sekiranya mahu lebih banyak ikan mengerumi kaki, boleh diberi makan makanan khas yang ada dijual di situ. Yuran kemasukan hanya RM5 untuk seorang dewasa dan bayaran ekstra untuk kamera. Kami beredar dari tempat ini pada pukul 4.45 petang, sudah terlewat untuk pergi ke ladang teh Sabah yang terletak hanya 1 km dari tempat ini. Mungkin akan datang di lain kali.
Arca yang mencerminkan tarikan di tempat ini. Imej dari internet.
Rumusan
Kundasang dan Ranau adalah destinasi yang wajib dilawati kerana keindahannya dan kelainannya. Ia "lain" kerana ia bukan kawasan majoriti Islam. Anda mungkin akan mendapat kejutan budaya apabila melihat begitu banyak penanda gereja dan gerai-gerai yang menjual "bakas" (daging babi hutan bakar). Anjing-anjing berkeliaran bukan sahaja di kawasan kampung malah di gerai makan dan pasar. Namun, ada penduduknya yang beragama Islam dan sekali-sekala kedengaran azan dan gerai makanan Islam mudah didapati. Untuk yang pertama kali ke sini, menginaplah dua atau tiga malam supaya dapat melihat tarikan dengan tenang. Tidak perlu di resort yang mahal kerana kebanyakan masa akan dihabiskan di luar. Sebaiknya, mulakan perjalanan dari KK di sebelah pagi, begitu juga balik dan ketika cuaca baik kerana jalannya yang berliku dan sering berkabus.
Peta KK ke Ranau (kredit http://borneobonita.blogspot.my)
Seperti yang ditunjukkan dalam peta, untuk pergi ke KK dari Ranau, perlu melalui Kundasang, maka eloklah disusun aktiviti dan penginapan hari pertama di Ranau, hari kedua dan ketiga di Kundasang langsung kembali ke KK. Jarak antara Kundasang dan pekan Ranau adalah 15km. Pekan Ranau ke Poring 29km, Sabah Tea 32km dan Kg Luanti, 33km.

No comments: