Setiba di KKIA, kami menerima kejutan gembira. Kereta Proton Saga yang ditempah telah digantikan dengan Honda City baru tanpa caj tambahan. Alhamdulillah.
![]() |
Kereta sewa kami di hadapan rumah terbalik. |
Dek kerana tak tahu nak makan tengah hari di mana, maka kami singgah di KFC, satu-satunya francais makanan segera yang kami nampak sepanjang perjalanan ke Kundasang. McDonalds tak kelihatan langsung. Selepas makan, kami singgah di tempat tarikan pelancung pertama iaitu Rumah Terbalik yang terletak di Tamparuli. Oleh kerana saya telah mengikuti beberapa blog, saya telah memilih untuk diam di dalam kereta sahaja. Memang masyuk pemilik rumah ini kerana tempatnya strategik di tepi jalan. Pada hari Rabu pun ada orang singgah, apatah lagi pada hari cuti dan hujung minggu.
Selain daripada rumah terbalik, terdapat sebuah muzium 3-D di situ tetapi harga tiket terlalu mahal, maka kawan-kawan saya tak masuk.
Pada awalnya, saya berhajat untuk singgah di jambatan gantung Tamparuli yang masyhur itu, tetapi kami memutuskan untuk terus ke Kundasang. Jarak KK dan Kundasang adalah sekitar 70 km. Ianya seperti satu siri jalan lurus dan bulatan. Setiap kali berjumpa bulatan, Google maps akan suruh terus. Di beberapa bulatan, kami melihat arca menarik yang menandakan keistimewaan tempat tersebut seperti buah nenas di dalam gambar ini.
Setelah setengah perjalanan, jalannya mula mendaki seperti menaiki Cameron Highlands, dan cuaca mula mendung, sekali-sekali terdapat kabus. Apabila tiba di pekan Nabalu, kami berhenti untuk melihat pemandangan sambil membeli-belah buah tangan.
![]() |
Deretan gerai yang menjual kraftangan dan cenderahati di Nabalu. |
Cuaca tanah tinggi sudah terasa di Nabalu, dan Gunung Kinabalu sudah boleh kelihatan, kalau bukan kerana awan melitupinya.
![]() |
Cubaan pertama untuk membentuk huruf "LOVE". |
Apabila kami sampai di pekan Kundasang, kami terus check-in di Dream World Resort di kawasan Mesilau. Selepas hujan, awan berlalu dan Gunung Kinabalu menampakkan dirinya. Terus saja kami ke Desa Dairy Farm yang tidak jauh dari penginapan, namun ia telah ditutup. Jadi kami ambil beberapa gambar di luar ladang saja.
![]() |
Cubaan kedua mengeja "LOVE" lebih menjadi di hadapan ladang yang berlatarbelakang Gunung Kinabalu. |
No comments:
Post a Comment